Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pulau Pinang serlah perpaduan rakyat

GEORGE TOWN: Sambutan hangat dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung berbilang kaum pada Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth semalam jelas mencerminkan semangat perpaduan rakyat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pengisian program yang menarik dan persembahan yang menonjolkan kepelbagaian budaya Malaysia juga mendapat pujian ramai.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia 2025 itu berkata sambutan yang julung kali dianjurkan di Pulau Pinang turut menyerlahkan semangat kebersamaan rakyat berbilang kaum.

“Kehadiran pemimpin Persekutuan dan negeri lain juga memberi mesej positif dalam suasana semasa,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Komtar di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai tuan rumah, Pulau Pinang berbesar hati menerima kepercayaan itu dan yakin pengalaman berkenaan akan menjadi rujukan bagi penganjuran pada masa akan datang.

Sambutan tahun ini, yang bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *