KOTA BHARU: Empat warga Myanmar termasuk pasangan suami isteri ditahan kerana disyaki membunuh rakan senegara di sebuah rumah kongsi dekat kebun Sonchong, Gua Musang pada Rabu lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata suspek berusia 30 hingga 46 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dalam serbuan di rumah kongsi di tapak ladang, Hutan Simpan Kekal Ulu Galas, Gua Musang kira-kira 7.30 pagi semalam.
“Kejadian dipercayai akibat cemburu kerana mangsa dikatakan memeluk suspek wanita yang berusia lingkungan 30-an, sebelum kesemua mereka bertindak memukulnya menggunakan sebilah parang penebas sawit sehingga maut,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata keempat-empat suspek juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan telah direman selama tujuh hari bermula semalam.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,“ katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Yusoff berkata polis telah menahan tiga beranak terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan berusia 19 hingga 60 tahun serta merampas dadah dan daun ketum bernilai kira-kira 1.6 juta ringgit dalam serbuan di sebuah rumah dekat Mukim Pauh Panji, di sini pada Rabu.
Beliau berkata dalam serbuan itu, polis menemukan 18 bungkusan kertas kekuningan disyaki berisi dadah jenis pil Yaba seberat 12.02 kilogram dan 150 bungkusan plastik cerah disyaki daun ketum.
“Kesemua suspek direman selama dua minggu bermula 11 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,“ katanya. – Bernama