SHENZHEN: Juara dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters China 2025.
Pasangan nombor tiga dunia itu menewaskan gandingan Amerika Syarikat Chen Zhi Yi–Francesca Corbett dengan keputusan 21-12 dan 21-14 dalam tempoh 31 minit.
Ini merupakan penampilan pertama mereka selepas memenangi kejohanan dunia di Paris bulan lepas.
“Perlawanan hari ini saya rasa okay sebab kami dah main dekat China beberapa kali,“ kata Tang Jie menerusi rakaman audio Persekutuan Badminton Dunia.
Beliau menekankan kepentingan mengekalkan momentum untuk perlawanan seterusnya.
Pasangan Malaysia itu akan berdepan gandingan Indonesia Jafar Hidayatullah–Felisha Pasaribu pada pusingan kedua esok.
Pasangan Indonesia itu mara selepas menewaskan beregu campuran Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 23-21, 21-17.
Pada edisi lepas, Tang Jie-Ee Wei terhenti di peringkat separuh akhir selepas tewas kepada bekas beregu campuran nombor satu dunia Feng Yanzhe-Huang Dongping. – Bernama