PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam rayuannya agar Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada terus mendengar dan membuat keputusan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.
Keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas mendapati permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu tidak mempunyai merit.
Hakim Ahmad Zaidi menyatakan kes solar melibatkan perayu telah didengar oleh hakim bicara iaitu Datuk Mohamed Zaini Mazlan lebih dua tahun dan sepanjang tempoh tersebut, perayu tidak pernah membuat permohonan agar hakim itu menarik diri.
Beliau menegaskan perayu sepanjang tempoh itu menerima bahawa hakim tersebut adalah adil dan saksama.
Panel mahkamah mendapati permohonan Rosmah adalah tidak bermerit dan beliau gagal menunjukkan real danger of bias.
Turut bersidang dalam panel berkenaan ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin. – Bernama