BUTTERWORTH: Rakyat Malaysia perlu menghindari sikap pelampau kaum dan agama bagi menjamin kelangsungan negara yang berdaulat dan merdeka selain menolak sikap ekstrem yang boleh memecah-belahkan rakyat.
Menyampaikan Amanat Sambutan Hari Malaysia 2025 di hadapan ribuan rakyat berbilang kaum, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sikap fanatisisme agama dan perkauman boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara.
Beliau menekankan rakyat mesti bersatu dan meleburkan kebencian serta prasangka antara kaum dan agama serta wilayah.
Anwar menegaskan sikap terlampau dengan kaum lain atau fanatik agama tidak dibenarkan dalam negara merdeka dan berdaulat.
Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat menjamin peluang serta kesaksamaan bagi semua kaum.
Perdana Menteri berkata cabaran kepada pimpinan negara pula adalah memastikan ekonomi Malaysia terus melonjak dengan mengamalkan tatakelola yang baik.
Menyentuh mengenai kemerdekaan, beliau menekankan bahawa erti sebenar kemerdekaan bukan sekadar menggantikan penjajah dengan anak tempatan.
Kemerdekaan menjamin wujudnya sistem yang adil, berakhlak dan menjunjung nilai kemanusiaan.
Kemerdekaan ertinya menjamin suatu sistem ekonomi dan budaya yang adil serta menjamin perpaduan dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata kemerdekaan Malaysia agak unik kerana ia tidak dibina atas penindasan kaum lain tetapi atas prinsip kebersamaan dan keadilan.
Prinsip kebersamaan dan keadilan ini perlu dikekalkan oleh generasi baru Malaysia untuk memastikan kelangsungan negara. – Bernama