BURIRAM: Johor Darul Ta’zim memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia Elit 2025/2026 dengan kekalahan 2-1 kepada wakil Thailand Buriram United.
Perlawanan di Chang Arena menyaksikan JDT memulakan aksi dengan garang apabila menjaringkan gol seawal 24 saat melalui Joao Figueiredo.
Gol tersebut dibatalkan selepas semakan VAR kerana bola telah terkena tangan penyerang itu dalam pembinaan serangan.
Buriram juga mengalami nasib sama apabila VAR membatalkan jaringan Guilherme Bessoli pada minit kelapan kerana kedudukan ofsaid.
Jaringan pertama yang sah akhirnya menjadi milik JDT pada minit ke-28 melalui Antonio Glauder.
Glauder menyambar bola muntah dalam kotak penalti hasil tandukan dari sepakan penjuru Jon Irrazabal.
JDT membawa kelebihan 1-0 ketika separuh masa pertama berakhir.
Tuan rumah bangkit pada separuh masa kedua dengan menyamakan kedudukan melalui Suphanat Mueanta pada minit ke-50.
Buriram mendahului 2-1 hanya empat minit kemudian melalui jaringan Robert Zulj.
JDT hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-81 melalui tandukan Figueiredo.
Penjaga gol Buriram Neil Etheridge berjaya menyelamatkan percubaan tersebut untuk memastikan kemenangan 2-1 buat tuan rumah. – Bernama