BINTULU: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru rakyat memperbaharui tekad mempertahankan perpaduan dan hak, seiring semangat Malaysia MADANI dan aspirasi Sarawak Maju Makmur.
Beliau berkata dengan sokongan rakyat, Sarawak kini berada di landasan kukuh untuk terus maju sebagai satu daripada ekonomi terbesar negara selepas diiktiraf Bank Dunia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi sejak 2022.
“Pencapaian kita bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga untuk mengangkat Malaysia di mata dunia.
“Dengan semangat Malaysia MADANI dan aspirasi Sarawak Maju Makmur, marilah kita melangkah ke hadapan sebagai satu bangsa, bangsa Malaysia untuk masa depan lebih cerah,” katanya.
Berucap pada Perhimpunan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2025 di sini, beliau berkata tema tahun ini, “Sarawak Maju Makmur Dalam Malaysia”, mencerminkan pencapaian serta hala tuju Sarawak menuju 2030.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa menjelang 2030, Sarawak akan terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara menerusi industri bernilai tinggi termasuk pembangunan tenaga boleh baharu seperti hidro, hidrogen dan solar.
“Dengan kekuatan ini, Sarawak kini dikenali sebagai ‘Battery of ASEAN’, bukan sahaja membekalkan tenaga untuk rakyat kita, tetapi juga untuk Kalimantan (Indonesia), Singapura, Brunei dan negara lain di rantau ini,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan Sarawak sebagai pintu masuk strategik ke rantau Borneo ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini. – Bernama