JAKIM, JAWI arah masjid surau adakan solat hajat untuk Sabah

KUALA LUMPUR: Semua masjid dan surau di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat di Sabah yang dilanda musibah banjir serta tanah runtuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merakamkan ucapan takziah dan menzahirkan rasa dukacita dengan musibah yang menimpa rakyat di negeri berkenaan melalui hantaran Facebook hari ini.

“Semoga seluruh negeri Sabah segera pulih daripada ujian besar yang sedang melanda,” katanya.

Beliau menegaskan seluruh agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan turun ke lapangan membantu agensi-agensi pusat dan negeri bagi menyantuni mangsa yang terlibat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan seramai 2,897 mangsa banjir daripada 813 keluarga masih berada di 22 pusat pemindahan sementara dan sebuah Pusat Pemindahan Kekal setakat 8 pagi ini.

Seramai 13 orang terkorban akibat insiden tanah runtuh yang melanda Sabah sejak Jumaat lepas.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan solat hajat akan dilaksana di tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya hari ini selepas solat maghrib.

“JAKIM menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT dengan penuh pengharapan,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Beliau berharap keadaan di negeri Sabah segera pulih seperti sediakala dan segala urusan mangsa bencana dipermudahkan.

Sirajuddin juga berdoa agar rakyat Sabah khususnya serta seluruh rakyat Malaysia amnya sentiasa dalam rahmat serta perlindungan Allah SWT. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *