BUTTERWORTH: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan semangat kesatuan, kebersamaan dan perpaduan merupakan kunci utama mengatasi pelbagai cabaran dalam perjalanan membina negara bangsa.
Beliau menyatakan 16 September menjadi tarikh keramat yang perlu sentiasa diingati sebagai hari tertubuhnya Malaysia dan tarikh bersejarah yang menjadikan negara berdaulat dan merdeka.
Hajiji berkata rakyat Malaysia harus berbangga serta mengingati detik penting pembentukan Malaysia yang telah membawa banyak nikmat dan manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
Beliau menekankan bahawa perjalanan membina negara masih panjang, berliku dan tidak terlepas daripada cabaran yang memerlukan kesatuan, kebersamaan dan perpaduan untuk diatasi.
Hajiji turut mengajak rakyat menghayati tema sambutan Hari Malaysia tahun ini “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni” yang mencerminkan keprihatinan serta komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Beliau menjelaskan prinsip Malaysia MADANI gagasan Perdana Menteri menekankan unsur ihsan, kesejahteraan rakyat, keadilan, perpaduan dan pembangunan saksama untuk semua.
Hajiji juga menyeru agar semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara perlu terus disemarakkan untuk memelihara perpaduan serta keharmonian rakyat pelbagai bangsa dan agama.
Sambutan Hari Malaysia 2025 ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi penganjuran antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin negeri turut hadir memeriahkan sambutan yang diadakan di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth. – Bernama