KUALA LUMPUR: Malaysia dan 15 negara lain telah menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan Flotila Sumud Global yang membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.
Menteri-menteri luar negara terbabit mengeluarkan kenyataan bersama pada Selasa yang menyatakan sokongan terhadap misi kemanusiaan tersebut.
Misi ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keperluan mendesak rakyat Palestin serta menggesa penghentian perang di Gaza.
“Objektif keamanan, penyampaian bantuan kemanusiaan, dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa adalah dikongsi oleh kerajaan kami,“ menurut kenyataan itu.
Para menteri menggesa semua pihak supaya tidak melakukan sebarang tindakan menyalahi undang-undang atau keganasan terhadap flotila berkenaan.
Mereka menekankan kepentingan mematuhi undang-undang antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Mereka turut memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia peserta flotila perlu dipertanggungjawabkan.
Ini termasuk serangan ke atas kapal di perairan antarabangsa atau penahanan secara tidak sah.
Menteri-menteri luar yang menandatangani kenyataan itu adalah dari Bangladesh, Brazil, Colombia, Indonesia, Ireland, Libya, Malaysia, Maldives, Mexico, Pakistan, Qatar, Oman, Slovenia, Afrika Selatan, Sepanyol dan Turkiye.
Flotila Sumud Global disertai warganegara daripada negara-negara berkenaan telah belayar dengan matlamat menyalurkan bantuan ke Gaza.
Misi ini juga bertujuan memperkukuh desakan bagi keamanan di wilayah yang dilanda konflik itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama (DIRCO) Afrika Selatan. – Bernama