Malaysia berpotensi jadi hab tuna serantau, nilai industri global USD42 bilion

BUTTERWORTH: Malaysia berpotensi muncul sebagai hab pendaratan ikan tuna di rantau ini melalui usaha kerajaan dan sektor swasta memperkukuh pembangunan industri hiliran serta kemudahan perkapalan berkaitan sektor berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu penting bagi memastikan hasil laut dalam, khususnya tuna tidak lagi dieksport dalam bentuk mentah sehingga merugikan nilai tambah kepada negara.

Beliau berkata antara inisiatif dilakukan termasuk kerjasama strategik antara Asia Ocean Resources Sdn Bhd dengan Penang Port Sdn Bhd yang membolehkan pendaratan hasil tuna sejuk beku -60 darjah Celsius serta pelancaran produk premium Shinkai Origin di Pelabuhan Pulau Pinang.

Langkah itu memperkukuh sektor ekonomi biru negara, meningkatkan sekuriti makanan, pembangunan modal insan dan daya saing Malaysia dalam industri perikanan laut dalam.

Malaysia tidak boleh hanya menjadi penonton dan mesti merebut peluang dalam industri tuna global bernilai kira-kira USD42 bilion setahun dan dijangka meningkat kepada USD54 bilion menjelang 2032.

Pelancaran Shinkai Origin menandakan jenama laut dalam Malaysia kini mampu menembusi pasaran premium antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah, Timur Tengah, BRICS dan Amerika Syarikat.

Selain memberi nilai tambah kepada eksport negara, projek itu juga membuka peluang pekerjaan serta melatih tenaga kerja mahir melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.

TVET Maritim dicadangkan diwujudkan bagi melatih anak muda dalam bidang perikanan laut dalam, penyelenggaraan kapal dan pemprosesan hasil tuna sebagai kluster baharu yang berpotensi besar.

Penghargaan dizahirkan kepada syarikat industri yang membuka peluang kepada pelajar institusi TVET menjalani latihan praktikal di limbungan kapal dan vesel laut dalam.

Proses pemindahan teknologi dari negara maju seperti Jepun, Korea dan Taiwan akan dipercepatkan melalui inisiatif ini.

Pulau Pinang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan hab tuna serantau dan bukan sekadar sebagai pusat pendaratan, tetapi juga pemprosesan, penyelidikan, latihan TVET dan perdagangan global. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *