PAPAR: Kerajaan memberikan komitmen penuh untuk membina semula struktur jambatan dasar baharu di Kampung Kaiduan di sini dengan mengambil kira skop dan spesifikasi bersesuaian bagi menggantikan jambatan sedia ada.
Jambatan sedia ada di kampung itu runtuh dibawa arus deras susulan hujan berterusan melanda daerah berkenaan sejak Sabtu lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar berkata pihaknya akan meninjau kawasan itu bersama agensi teknikal bagi menentukan bentuk penyelesaian sesuai dengan mengambil kira risiko keadaan ekstrem di lapangan.
Beliau berkata struktur jambatan baharu dengan menerapkan aspek ketahanan binaan amat penting kerana ia menjadi jalan utama menghubungkan beberapa kampung termasuk Kampung Kaiduan dan Kampung Bisuang.
Jambatan ini juga memastikan aktiviti ekonomi serta pelancongan di kawasan terbabit berjalan seperti biasa demi manfaat penduduk tempatan.
“Jika dilihat pada waktu biasa arus deras di kawasan itu apatah lagi bila keadaan hujan lebat dan air pasang dari bahagian hulu yang akan menyebabkan risiko amat besar,“ katanya.
“Sejak sekian lama tiada binaan kekal dibuat di kawasan itu,“ tambah Armizan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat penduduk terjejas banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara Dewan Lok Kawi Height di sini hari ini.
Banjir kilat turut menyebabkan 12 jalan di Papar terputus hubungan manakala enam jalan terjejas disebabkan cerun runtuh.
Sementara itu Armizan berkata pihaknya menasihati keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Mook dan Kampung Marahang Tuntul untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara atau rumah sewa buat sementara waktu.
Pemindahan ini membolehkan penilaian risiko dibuat selain kerja-kerja pembaikan rumah dapat dilakukan dengan selamat.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan 2,468 mangsa banjir daripada 656 keluarga berada di 19 pusat pemindahan sementara dan satu pusat pemindahan kekal di Beaufort setakat 8 pagi.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak Jumaat lepas meragut 13 nyawa hingga hari ini dengan lima daripadanya melibatkan kejadian di Papar. – Bernama