DOHA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berlepas pulang ke Malaysia pada hari Isnin selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di sini.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan delegasi Malaysia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada pukul 8.10 malam waktu tempatan.
Anwar dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarangabangsa Pulau Pinang pada pagi Selasa sebelum menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth.
Ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada sidang kemuncak itu, Anwar mendesak tindakan tegas terhadap Israel dan mengecam serangan udara terbaru rejim itu ke atas Doha.
Beliau turut mengutuk pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza dan menuntut bantuan kemanusiaan diberi laluan selamat.
Perdana Menteri menekankan keperluan membenarkan Konvoi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla tiba di Gaza dengan membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Delegasi Anwar disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Hasan.
Anwar menghadiri sidang kemuncak atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani susulan serangan Israel terhadap Doha.
Sidang kemuncak itu turut dihadiri pemimpin negara-negara Islam termasuk Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Palestin Mahmud Abbas.
Raja Jordan Raja Abdullah II Al Hussein juga hadir dalam pertemuan penting itu.
Menurut laporan media antarabangsa, sidang kemuncak membincangkan serangan Zionis ke atas Doha pada 9 September.
Serangan itu didakwa menyasarkan kepimpinan politik Hamas ketika rundingan gencatan senjata Gaza sedang berlangsung.
Serangan di kawasan Leqtaifiya melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis dan mengorbankan enam orang.
Mangsa termasuk anak pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya dan seorang pegawai keselamatan Qatar.
Pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat daripada serangan tersebut. – Bernama