KOTA KINABALU: Sebanyak tujuh kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kampung Kopungit, Kepayan sejak semalam dengan dua rumah mengalami kerosakan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata pihaknya menerima laporan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung mengenai situasi itu hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan bersama agensi-agensi terlibat telah dilakukan di kawasan berkenaan.
Pegawai daripada Jabatan Mineral dan Geosains Sabah mendapati struktur tanah di kawasan itu tidak stabil.
Ordine Gilu memberi amaran sekiranya keadaan cuaca hujan berterusan kawasan berisiko tinggi berlaku runtuhan susulan.
Pasukan bomba dan agensi terlibat telah mengarahkan dua keluarga untuk berpindah ke Balai Raya Kampung Kopungit.
Pemantauan berterusan dijalankan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Penduduk Mazlan Dullah, 37, menyatakan kebimbangannya terhadap keselamatan keluarga dan jiran-jiran di kawasan berkenaan.
Beliau mengakui tidak boleh tidur lena sejak kejadian tanah runtuh semalam.
Setiap kali hujan turun hati penduduk berdebar-debar kerana takut tanah runtuh lagi.
Rahmah Kitin, 45, memohon pihak berkuasa mencari penyelesaian jangka panjang untuk masalah tersebut.
Penduduk keberatan untuk berpindah kerana kawasan itu merupakan tanah warisan mereka.
Beliau menegaskan penduduk bukan orang senang dan tidak mampu untuk pindah ke rumah baharu. – Bernama