KUALA KUBU BHARU: Seramai 400 individu mengalami detik cemas setelah terperangkap dalam kejadian kepala air ketika berkhemah dan berkelah di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Kerling.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar menyatakan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.47 pagi.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bersama enam anggota segera digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer jauhnya.
Pasukan bantuan tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.11 pagi untuk melaksanakan operasi menyelamat.
Air mula naik sekitar pukul 3 pagi menyebabkan pengunjung yang berkhemah sempena cuti umum dan cuti sekolah terperangkap.
Semua mangsa berjaya diselamatkan dan telah diarahkan berpindah ke kawasan tinggi dengan pemantauan anggota bomba.
Ahmad Mukhlis menegaskan operasi mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap masih sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat. – Bernama