BUTTERWORTH: Butterworth, Pulau Pinang bakal menjadi tumpuan negara esok apabila sambutan Hari Malaysia 2025 berlangsung penuh warna-warni dan semangat patriotik di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, acara bersejarah itu dijangka menghimpunkan ribuan pengunjung dari seluruh negara, khususnya dari wilayah utara, bagi meraikan kepelbagaian budaya dan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan Malaysia.
Meskipun acara kemuncak persembahan hanya bermula pada 8.30 malam, sambutan sudah bermula seawal 9 pagi dengan pelbagai program menarik termasuk reruai interaktif Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti set cuba bakat DJ dan RTM Klik, Kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta reruai Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.
Orang ramai juga berpeluang menyertai demonstrasi penyediaan makanan tradisional seperti ubi kayu, selain menikmati pameran pakaian dan peralatan warisan yang mendekatkan masyarakat dengan budaya tempatan.
Pengunjung boleh melawat Zon Pameran Bertema yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Zon A (zaman sebelum merdeka meliputi artifak, replika dan video kehidupan rakyat), Zon B (era kemerdekaan menampilkan tokoh, rakaman laungan Merdeka dan keratan akhbar), serta Zon C (zaman selepas merdeka hingga kini termasuk foto pembangunan negara dan akhbar pembentukan Malaysia 1963).
Tirai persembahan akan dibuka dengan karya baharu berjudul “Rentak Tradisi Pulau Mutiara”, yang mengetengahkan keunikan budaya Pulau Pinang melalui gabungan tiga seni tradisi ikonik iaitu Joget Joghee, Opera Cina Pulau Pinang dan Boria Pulau Pinang.
Sambutan turut menyaksikan acara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Hari Malaysia 2025 akan dimeriahkan dengan persembahan khas berdurasi 30 minit yang menggabungkan muzik dan tarian, menampilkan Ratu Rock negara Ella bersama Suki Low, Roshini Balachandran serta artis dari Sabah dan Sarawak iaitu Dabra Sia dan Rezza Shah.
Kesemua persembahan akan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia dari Istana Budaya, yang menggabungkan alat muzik pelbagai etnik sebagai simbol perpaduan Malaysia.
Sambutan ini akan turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow selaku tuan rumah, bersama barisan jemaah menteri. – Bernama