BUKIT MERTAJAM: Polis merampas 135 motosikal dan mengeluarkan 614 saman kesalahan trafik dalam operasi bersepadu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) keluar Jalan Permatang Pauh, Seberang Jaya.
Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menyatakan bahawa enam orang ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala tiga lagi ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD SPT setelah disahkan positif methamphetamine dan ketamine.
Operasi yang dikenali sebagai OP Tutup Samseng Jalanan Bersepadu ini dijalankan bagi membendung aktiviti haram kumpulan mat rempit di kawasan berkenaan dengan 400 motosikal diperiksa.
Polis mengesan beberapa kumpulan remaja menaiki motosikal dan kereta berkumpul berhampiran PLUS dan keluar Permatang Pauh untuk menyaksikan pertunjukan berbahaya penunggang motosikal berlumba.
Perlumbaan haram tersebut berlangsung pada hujung minggu cuti umum sehingga menimbulkan gangguan kepada pengguna lebuhraya akibat kelajuan tinggi yang dipamerkan.
Aktiviti paling membimbangkan termasuk bunyi bising kuat daripada ekzos motosikal yang diubah suai, menunggang melawan arus trafik, melakukan wheelie pada kelajuan tinggi dan corak menunggang berbahaya.
Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja membahayakan penunggang malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain. – Bernama