Mudir sekolah pondok ditahan lagi kes amang seksual remaja lelaki

KUALA TERENGGANU: Seorang mudir atau guru besar sekolah pondok yang telah didakwa di mahkamah atas kesalahan amang seksual sekali lagi ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan sama di Kuala Nerus pada Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata polis menahan lelaki berusia 46 tahun itu pada 7.30 malam semalam di Tumpat, Kelantan.

Berdasarkan siasatan awal, suspek disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 14 tahun di sebuah sekolah tahfiz di Batu Rakit, Kuala Nerus kira-kira 9 malam Februari.

Azli berkata suspek yang memiliki rekod jenayah lampau kes seksual dan penganiayaan terhadap kanak-kanak ditahan reman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pada Khamis lepas, lelaki itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan atas tujuh tuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah yang didakwa dilakukan sejak Jun 2024 hingga Ogos lepas. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *