NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan menegaskan tiada keperluan untuk memansuhkan sistem matrikulasi kerana program ini dan prauniversiti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sama-sama diiktiraf serta memenuhi merit kemasukan ke universiti awam.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kedua-dua sistem telah lama menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara dan memainkan peranan penting dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada pelajar.
Beliau menasihatkan supaya perbincangan mengenai pemansuhan matrikulasi tidak dilakukan secara keterlaluan memandangkan kedua-dua sistem mempunyai keistimewaan masing-masing.
“Kedua-duanya memenuhi merit untuk masuk ke universiti awam, malah KPM memberi komitmen penuh untuk terus menambah baik berdasarkan pandangan serta cadangan yang diterima,“ katanya selepas merasmikan Kongres Prauniversiti MADANI 2025 Peringkat Pulau Pinang di Dewan Pusat Mahasiswa Universiti Sains Malaysia Kampus Kejuruteraan.
Kenyataan ini dibuat sebagai respons kepada tuntutan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya Tang Yi Ze yang mahukan program matrikulasi dimansuhkan dan STPM dijadikan piawaian tunggal kemasukan universiti awam.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menekankan bahawa KPM sentiasa memberi perhatian kepada aspek akademik dan kebajikan pelajar dalam kedua-dua sistem dengan usaha penambahbaikan berterusan secara berperingkat.
Beliau menyatakan KPM telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memartabatkan program tingkatan enam termasuk memperkasakan aspek kepimpinan pelajar melalui pilihan raya pelajar.
“Kita kena laksanakan dalam keadaan hari ini dan jangan bertelagah dalam isu-isu yang tidak mendatangkan apa-apa kerana mengundang persepsi tidak baik kepada kedua-dua program ini,“ katanya. – Bernama