Kerani akaun hilang RM527,681 ditipu pelaburan tidak wujud

JOHOR BAHRU: Seorang kerani akaun wanita mengalami kerugian RM527,681.17 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata mangsa berusia 46 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menawarkan pelaburan permainan pertaruhan dengan keuntungan hingga lima peratus daripada modal dikeluarkan pada 12 Jun lepas di Taman Desa Tebrau.

Mangsa yang berminat untuk menyertai kemudian mendaftar melalui pautan yang diberikan suspek dan membuat pindahan wang pertama sebanyak RM10,000 sebelum menerima keuntungan RM1,000 selepas mencuba permainan itu sebanyak dua kali.

Antara 14 Julai hingga 4 September mangsa terperdaya dan melakukan beberapa transaksi pemindahan wang ke sembilan akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM527,681.17.

Selepas membuat pembayaran mangsa masih diminta membayar tambahan kononnya bagi membolehkan keuntungan dikeluarkan sebelum akhirnya menyedari ditipu dan membuat laporan polis pada 12 September.

Raub berkata siasatan awal mendapati sumber kewangan yang digunakan daripada simpanan mangsa sendiri.

Semakan melalui Sistem Risikan Jenayah Komersial (CCIS) mendapati nombor telefon digunakan suspek tidak mempunyai rekod penipuan namun disyaki disalah guna untuk tujuan penipuan.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan butiran akaun bank terlibat merekod keterangan pihak bank membuat semakan bersama pihak telco untuk mengenal pasti pemilik nombor telefon serta mengesan dan menangkap suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Polis Johor Bahru Selatan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati menerima tawaran pelaburan melalui media sosial atau WhatsApp dan membuat semakan di portal rasmi Semak Mule sebelum membuat sebarang pembayaran.

Masyarakat diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji pulangan lumayan dalam tempoh singkat dan segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) melalui talian 997 untuk melaporkan sebarang aktiviti penipuan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *