SERDANG: Silibus Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) akan dikaji semula bagi memberikan kefahaman yang lebih luas dan menyeluruh kepada pelatih mengenai isu-isu nasional serta global.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menjelaskan langkah itu bukanlah rombakan menyeluruh tetapi penambahbaikan untuk memastikan mahasiswa terlibat lebih bersedia melangkaui latihan teknikal khusus.
“Kita cuba membina kefahaman dalam kalangan mereka mengenai apa itu geopolitik dan apa itu diplomasi pertahanan,” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Pentauliahan Diraja PALAPES ke-43 di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau mengharapkan apabila mereka keluar nanti, di mana sahaja mereka berada, mereka akan menjadi ejen yang mampu mendorong perubahan.
Mengenai kejayaan 1,927 pegawai kadet PALAPES, Mohd Nizam menyifatkan majlis itu sebagai satu kejayaan yang menzahirkan peranan PALAPES sebagai wadah tumpuan dalam melahirkan bakal pemimpin negara.
Beliau menegaskan PALAPES tidak pernah diwujudkan semata-mata sebagai saluran untuk membolehkan siswazah terus menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Secara purata hanya tujuh hingga lapan peratus kadet yang akhirnya menyertai perkhidmatan, manakala majoriti berkhidmat dalam sektor lain.
“Mereka adalah pemangkin perubahan dan apa yang kita mahu ialah mereka dapat menyerlahkan potensi di luar (ketenteraan),” katanya.
Beliau berharap PALAPES akan terus menjadi platform berkenaan untuk negara.
Pada 8 September lepas, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dilaporkan berkata silibus PALAPES akan dikaji semula bagi memastikan modul latihan kekal relevan dengan keperluan semasa.
Beliau berkata Kementerian Pertahanan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengemas kini silibus serta modul latihan PALAPES.
PALAPES merupakan program latihan ketenteraan yang direka khas untuk mahasiswa dengan tujuan melahirkan pegawai simpanan muda berdisiplin, berwawasan dan bersemangat patriotik. – Bernama