Sembilan individu dibebaskan jaminan polis kes mayat dalam kereta

IPOH: Sembilan individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita dalam sebuah kereta di Simpang Pulai minggu lepas telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad menyatakan semua suspek termasuk seorang wanita dilepaskan sementara menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.

“Polis telah menahan reman semua suspek sejak Isnin dan hari ini, polis menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk membebaskan mereka,” katanya kepada pemberita.

Pada 8 September, semua suspek berusia antara 30 hingga 70 tahun direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat tersebut.

Kes ini juga membabitkan siasatan kes menembak serta menikam seorang anggota polis berusia 26 tahun dari Balai Polis Simpang Pulai.

Anggota polis tersebut sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun akibat kejadian itu.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *