MBMB gesa isu banjir di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan diatasi segera

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memandang serius kejadian banjir yang kerap berlaku di Bazar Kraftangan, Dataran Pahlawan Megamall Melaka, khususnya pada musim hujan.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman mengesa pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu.

Beliau berkata kejadian itu bukan sahaja menjejaskan operasi harian, malah turut memberi kesan terhadap sumber pendapatan peniaga kraftangan dan usahawan mikro yang berniaga di kawasan tersebut.

“Masalah ini berpunca daripada sistem saliran yang tidak berfungsi dengan baik, khususnya apabila pam air utama gagal beroperasi untuk mengalirkan air keluar.”

“Situasi ini amat membimbangkan, kerana ia telah berulang tanpa penyelesaian tuntas,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook.

Beliau menjelaskan pengurusan dan penyelenggaraan kawasan berkenaan adalah di bawah tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB) Dataran Pahlawan Megamall Melaka.

MBMB telah menjelaskan yuran penyelenggaraan secara berkala kepada pihak terbabit seperti ditetapkan.

“Oleh itu, MBMB menggesa pihak JMB untuk segera menggantikan pam air yang dikenal pasti sebagai punca utama kejadian banjir, selain mengambil langkah pencegahan lain dengan kadar segera.”

Shadan berkata pihak MBMB akan terus memantau situasi itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelewatan yang boleh memberi kesan buruk kepada peniaga dan imej kawasan pelancongan terbabit.

“MBMB amat bersimpati dengan kesulitan yang dialami peniaga dan pengunjung, dan kami akan berusaha memastikan kebajikan semua pihak sentiasa terpelihara.” – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *