Lebih 500 perpustakaan desa terima peruntukan RM100,000 tahun ini

KUALA KRAI: Sebanyak 506 Perpustakaan Desa di seluruh negara akan menerima peruntukan berjumlah RM100,000 pada tahun ini menerusi Program Sentuhan Komuniti Bestari.

Timbalan Menteri Perpaduan K. Saraswathy berkata peruntukan itu diagihkan bagi melaksanakan pelbagai program berskala kecil di bawah inisiatif berkenaan.

“Program Sentuhan Komuniti Bestari memberi fokus kepada peningkatan budaya membaca, literasi digital serta perpaduan komuniti secara inklusif dan menyeluruh dengan melibatkan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kembara Ilmu Ini Warisan Kita, Sentuhan Komuniti Bestari @ Dabong di Padang Awam Kuala Gris.

Saraswathy berkata program Kembara Ilmu Ini Warisan Kita adalah manifestasi jelas usaha kerajaan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata program berkenaan bukan sahaja bertujuan menggalakkan minat membaca, malah memupuk semangat cinta akan tanah air dan menghargai kepelbagaian warisan budaya.

“Melalui inisiatif seperti Kembara Ilmu Ini Warisan Kita, ia dapat memperkukuh jati diri bangsa, menyemarakkan semangat cintakan ilmu dan menghargai khazanah tempatan melalui pendekatan inklusif, kreatif dan berpaksikan komuniti.

“Keunikan program ini turut menyerlahkan gagasan ‘Harmoni dalam Kepelbagaian’, satu prinsip yang menjadi teras hala tuju Kementerian Perpaduan,” katanya.

Beliau menegaskan kepelbagaian budaya di Malaysia bukan penghalang, sebaliknya jambatan untuk rakyat saling memahami dan melengkapi antara satu sama lain.

“Perpaduan satu perjalanan, bukan destinasi. Ia perlu disemai, dipupuk dan dihidupkan dalam kehidupan seharian melalui aktiviti masyarakat, perkongsian ilmu serta penghargaan terhadap warisan kita bersama,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *