Warna -warni sarung semarakkan Hari Malaysia

KUALA LUMPUR: Tren yang biasanya dipenuhi warga kota bergegas ke tempat kerja atau destinasi tertentu, bertukar wajah pagi ini apabila lebih 20,000 peserta Keretapi Sarong 2025 tampil dengan kain sarung pelbagai warna, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini.

Kesemua 11 stesen utama di Lembah Klang menyaksikan ketibaan peserta seawal 8 pagi, masing-masing menggayakan kain sarung dengan pelbagai cara dan kreativiti.

Acara anjuran organisasi budaya LOCCO dengan sokongan Rapid KL itu mengetengahkan tema Serumpun sebagai simbol kebersamaan ASEAN dengan suasana di platform bagaikan karnival mini, meriah dengan gelak tawa dan sorakan kecil peserta sebelum berhimpun di lokasi rahsia di Raintree Plaza, TRX.

Edisi kesembilan itu turut disertai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Selangor Datuk Ng Suee Lim serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy, yang masing-masing menaiki tren dari stesen berbeza.

Pengasas bersama LOCCO Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata Keretapi Sarong kekal sebagai acara rakyat tanpa protokol, meraikan semua lapisan masyarakat daripada pelbagai latar belakang

“Apabila pemimpin hadir sekalipun, mereka diraikan sebagai sebahagian daripada komuniti. Mereka datang sebagai orang biasa, menaiki tren seperti orang lain tanpa sambutan khas.

“Contohnya, Datuk Ng Suee Lim menaiki MRT dari Sri Damansara Sentral sambil membawa kempen Tahun Melawat Selangor, manakala Menteri Pelancongan dari MRT UPM kerana berhampiran dengan kediamannya. Mereka bersama-sama rakyat sejak dari stesen lagi dan inilah semangat yang kita mahu tonjolkan,” katanya kepada Bernama.

Walaupun hanya menampilkan gimik Serumpun, sorakan hadirin semakin bergema apabila penyanyi popular Aina Abdul muncul dengan kebaya putih berunsur ASEAN karya pereka fesyen Rashid Moshi.

Aina mengetuai bacaan ikrar sebelum mendendangkan tiga lagu iaitu ASEAN, Warisan dan Standing In The Eyes Of The World yang dipopularkan oleh Ella.

Shamsul berkata Aina diundang khas kerana beliau penyanyi rasmi lagu ASEAN dan kehadirannya dianggap istimewa untuk membangkitkan semangat kebersamaan serantau.

“Saya boleh katakan Aina digambarkan sebagai voice of serumpun atau suara yang mewakili semangat kebersamaan rantau ini. Persembahannya bukan sekadar hiburan tetapi mengingatkan orang ramai tentang nilai kebersamaan dan perpaduan di rantau ASEAN,” katanya.

Menjelang ulang tahun ke-10 tahun depan, LOCCO berhasrat menghimpunkan semula semua komuniti seni yang pernah bersama-sama mereka sejak awal penganjuran.

“Saya juga berharap acara ini akan berkembang ke negeri-negeri lain antaranya Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Perlis dan Terengganu,” katanya- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *