KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Tapak Hadapan Pasar Nelayan Pantai Sepat bermula hari ini hingga esok.
Timbalan Menteri Datuk Dr Fuziah Salleh berkata program itu menawarkan 142 stok simpanan unit (SKU) termasuk ikan segar dan daging menerusi kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dengan potongan diskaun sebanyak 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran tempatan.
Beliau menyatakan program mega itu dilaksanakan menerusi model luar premis yang setakat ini kurang daripada 1,000 kali diadakan di seluruh negara.
“Kebiasaannya program mega dianjurkan selama dua hari bagi memberi peluang penduduk setempat merancang kehadiran mereka,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan PJRM Mega Hari Malaysia.
Bagi menarik lebih banyak pengunjung, KPDN turut mengagihkan insentif e-dompet bernilai RM20 kepada 1,500 pengunjung terawal hari ini dan esok.
Terminal Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut disediakan untuk memberi manfaat berganda kepada pengunjung yang ingin menggunakan bantuan berkenaan.
Fuziah berkata sejak Januari hingga 31 Ogos lepas, sebanyak 15,308 Jualan Rahmah telah dianjurkan di seluruh negara merangkumi tiga model utama.
Sebanyak 9,600 daripadanya ialah Jualan Rahmah Bergerak menurut data yang dikongsi beliau.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan agihan zakat wakalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berupa wang tunai RM250 dan bakul Rahmah bernilai RM100 kepada 127 penerima.
Bercakap mengenai perancangannya dalam Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI), beliau berkata pihaknya akan memberi tumpuan terhadap pembangunan projek sawah padi di Pantai Sepat yang telah terbiar sejak pandemik COVID-19.
“Sebelum ini, sawah padi ini ada 88 peserta, tapi sudah tiga tahun ia terbiar maka, kita mulakan semula usaha itu dengan membentuk komuniti-komuniti,“ katanya.
Beliau menjelaskan 88 peserta itu akan dibahagikan kepada tiga komuniti untuk mengusahakan sawah seluas 33 ekar.
“Sebelum hujung tahun ini akan mula kerja membajak dan menanam (padi),“ tambah Fuziah.
Beliau berkata pembangunan sawah padi itu juga mampu meningkatkan potensi agropelancongan di kawasan berkenaan kerana faktor geografinya berdekatan kawasan pantai. – Bernama