PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ( https://mysubsidi.kpdn.gov.my ikat pengangkutan darat awam dan barangan membuat permohonan pendaftaran menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my bermula 10 pagi pada Isnin ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata permohonan pendaftaran melalui sistem itu amat penting supaya sektor pengangkutan berkenaan mendapat manfaat subsidi petrol RON95.
Beliau menegaskan pendaftaran ini membolehkan KPDN mengawal selia mekanisme penyaluran subsidi untuk kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan.
Sebanyak sembilan kategori dalam sektor pengangkutan darat awam layak membuat permohonan iaitu teksi, kereta sewa, bas sekolah, van mayat, ambulans, bomba, bas pengantara, bas berhenti-henti dan bas mini.
Bagi sektor pengangkutan darat barangan pula, 12 kategori kenderaan layak memohon termasuk van panel, van window, van semi panel, lori katering makanan, dan lori rigid pelbagai jenis.
Syarat-syarat kelayakan pendaftaran SKPS ialah syarikat berdaftar di Malaysia, kenderaan adalah milik syarikat pemohon, kenderaan dengan cukai jalan sah dan kenderaan tersenarai dalam kategori layak.
Pembelian petrol bersubsidi RON95 oleh syarikat pengangkutan akan dilaksanakan melalui kaedah penggunaan Fleet Card untuk meningkatkan kecekapan kawal selia pemberian subsidi.
Kaedah itu diguna pakai bersandarkan kepada keberkesanan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang dilaksanakan tahun lepas.
Syarikat pengangkutan berjaya mendaftar dalam SKPS perlu segera memohon Fleet Card daripada tiga syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan dokumen kelulusan.
Semua syarikat pengangkutan dinasihati untuk membuat permohonan SKPS dan Fleet Card pada kadar segera untuk memanfaatkan subsidi sebaik sahaja tarikh pelaksanaan diumumkan.
Jumlah kenderaan terlibat di Semenanjung untuk SKPS melebihi 100,000 kenderaan bagi kedua-dua sektor pengangkutan darat awam dan barangan.
Armizan turut menggalakkan syarikat-syarikat minyak membangunkan kad digital melalui aplikasi masing-masing sebagai alternatif lain.
Mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 untuk kenderaan persendirian individu akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada penghujung September ini. – Bernama