SUNGAI PETANI: Empat lelaki yang terkandas di kawasan hutan Tupah, Gunung Jerai akibat hujan semalam berjaya diselamatkan dan dibawa turun kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan menyatakan kumpulan lelaki tersebut memulakan pendakian pada pukul 6.30 pagi melalui Hutan Lipur Tupah.
Keluarga keempat-empat mangsa mula bimbang selepas gagal menghubungi mereka pada pukul 7 malam dan membuat laporan polis di Balai Polis Merbok pada pukul 9 malam.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Asraf Rosni, 34 tahun; Mohd Syafiq Asraf Said, 32 tahun; Muhamad Aiman Norazam, 26 tahun, dan Muhamad Zulfahmi Zulkefli, 25 tahun.
Tiga mangsa berasal dari Sungai Petani manakala seorang lagi berasal dari Jeli, Kelantan.
Pasukan bomba tiba di loji penapisan Syarikat Air Darul Aman (SADA) Tupah pada pukul 10.47 malam dan memulakan operasi mencari dan menyelamat.
Pencarian pada awalnya terpaksa dihentikan atas faktor cuaca dan keselamatan sebelum dirancang untuk disambung semula pada pukul 6 pagi.
Pasukan penyelamat berjaya memasuki hutan untuk melakukan pencarian pada pukul 1.15 pagi dan akhirnya berjaya membawa semua mangsa turun dengan selamat. – Bernama