Malaysia tuan rumah Forum ASEAN Pekerja Migran ke-18 di KL

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menganjurkan Forum ASEAN mengenai Pekerja Migran (AFML) ke-18 yang berakhir pada Rabu selepas dua hari sesi perbincangan.

Forum anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu membincangkan usaha memperkukuh perlindungan dan mempromosikan kerja wajar untuk pekerja migran di seluruh rantau ASEAN.

Acara ini menghimpunkan wakil daripada negara anggota ASEAN, kumpulan pekerja dan majikan, pertubuhan masyarakat sivil serta rakan kerjasama antarabangsa.

Pemerhati dari Australia, Kanada dan Switzerland turut menyertai forum ini sebagai rakan penaja yang menunjukkan sokongan kukuh masyarakat antarabangsa.

Forum bertemakan “Mempercepatkan Tindakan ke Arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) mengenai Migrasi Selamat dan Pekerjaan Wajar untuk Pekerja Migran di ASEAN” itu mengiktiraf peranan penting pekerja migran dalam menyokong pembangunan ekonomi dan sosial serantau.

Para peserta bertukar pandangan dan berkongsi amalan terbaik berkaitan pengambilan pekerja secara adil, perlindungan sosial, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta akses kepada pembangunan kemahiran.

Forum diakhiri dengan satu set syor untuk membimbing negara anggota ASEAN dalam memperkukuh perlindungan hak pekerja migran menerusi kerjasama lebih erat.

Antara syor utama ialah penghapusan buruh paksa melalui penguatkuasaan undang-undang lebih tegas dan pelaksanaan langkah perlindungan serta penyediaan saluran aduan mudah diakses.

Syor lain termasuk pengurangan yuran pengambilan dan kos berkaitan dengan mempromosi ketelusan serta amalan pengambilan pekerja secara beretika.

Peningkatan standard keselamatan serta kesihatan pekerjaan untuk pekerja migran dalam semua sektor turut menjadi syor penting.

Forum juga menyyor memperluas akses kepada dialog sosial, kebebasan berpersatuan dan perundingan kolektif.

Memperkukuh keterangkuman kewangan dan mengurangkan kos kiriman wang melalui sistem pemindahan lebih selamat dan mampu milik turut dicadangkan.

Kementerian merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan rakan kerjasama atas sumbangan aktif mereka dalam forum tersebut.

Malaysia mengulangi komitmen untuk terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan serantau dalam isu pekerja migran.

Forum AFML seterusnya akan dianjurkan Filipina pada tahun 2026. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *