Surau Nurul Haq terima sumbangan RM170,000 selepas van jenazah dicuri

KULAI: Surau Nurul Haq di Kampung Sayong 1 menerima sumbangan berjumlah 170,000 ringgit daripada pelbagai agensi berikutan insiden van jenazah miliknya dicuri dan remuk dalam kemalangan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan sumbangan tersebut merangkumi 100,000 ringgit daripada Lembaga Tabung Haji, 50,000 ringgit daripada Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, dan 20,000 ringgit daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Beliau berkata insiden van jenazah dicuri sebelum terbabit dalam kemalangan telah menyentuh hati ramai pihak untuk tampil membantu.

“Alhamdulillah masyarakat kampung kini bakal memiliki sebuah van jenazah baharu lebih selesa dan selamat untuk kegunaan mereka,“ katanya semasa majlis penyerahan cek cura di surau berkenaan.

Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada Teo Nie Ching yang memberi sumbangan awal 15,000 ringgit dan syarikat swasta QR Oyes Sdn Bhd sebanyak 5,000 ringgit bagi meringankan beban surau tersebut.

Sumbangan 20,000 ringgit daripada YaPEIM diperuntukkan khusus untuk program pengimarahan surau termasuk aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan bagi menyatukan penduduk kampung.

Teo Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Ahli Parlimen Kulai menyifatkan sumbangan tersebut sebagai komitmen Kerajaan Persekutuan yang peka terhadap permasalahan rakyat.

Pada 4 September lalu, van jenazah jenis Toyota Hiace milik surau itu dicuri seorang lelaki berusia 21 tahun antara jam 1 hingga 2 pagi sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Skudai pada jam 2.30 pagi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *