PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 30 tahun terhadap bekas anggota RELA kerana membunuh rakan baiknya pada tahun 2021.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hashim Hamzah, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril mengetepikan rayuan Ong Chow Lee atas sabitan serta hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 13 tahun terhadap Ong kerana cubaan membunuh anak saudara mangsa berdasarkan alasan penghakiman bertarikh 27 Ogos lepas.
Kedua-dua hukuman itu diperintah berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 23 Julai 2021.
Kesalahan dilakukan di belakang sebuah tokong Cina di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang antara 1.20 tengah hari hingga 1.55 tengah hari pada 23 Julai 2021.
Mangsa, Fong Swee Fuan, 65, merupakan bekas Ketua Bahagian MCA Marang menurut laporan media.
Fakta kes mendedahkan Ong, 61, telah melepaskan tembakan selepas pertengkaran menyebabkan Fong terbunuh manakala Teo Hock Beng, 48, cedera pada tangan kiri.
Ong mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Julai tahun lepas.
Semasa rayuan, Ong meminta kesnya dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan semula dengan alasan dipengaruhi bekas peguamnya untuk mengaku bersalah.
Ong mendakwa mempercayai dia hanya akan menerima hukuman penjara 15 tahun sedangkan hukuman minimum bagi kesalahan membunuh ialah 30 tahun.
Ong turut mendakwa dia buta huruf dan mahkamah sepatutnya menyediakan jurubahasa Mandarin ketika prosiding di Mahkamah Tinggi.
Dia mendakwa tidak memahami sepenuhnya akibat pengakuan bersalah itu kerana kekangan bahasa.
Dalam alasan penghakiman, Hakim Hashim memutuskan bahawa isu-isu yang dibangkitkan Ong adalah tidak berasas.
Hakim berkata hakim Mahkamah Tinggi mengesahkan dengan Ong dan peguamnya bahawa Ong memahami bahasa Melayu.
Mahkamah mendapati Ong telah mengakui fakta kes, mengenal pasti barang kes pendakwaan dan diwakili oleh tiga peguam semasa rakaman pengakuan.
Panel hakim sebulat suara mendapati rayuan ini tidak mempunyai merit dan sabitan terhadap perayu adalah kukuh.
Hukuman penjara yang dikenakan juga adalah minimum yang ditetapkan undang-undang menurut Hakim Hashim. – Bernama