SEREMBAN: Teman wanita kepada bapa kanak-kanak yang lemas dalam tragedi di muara Sungai Linggi, Tanjung Agas Port Dickson telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata wanita berusia 41 tahun itu dilepaskan namun akan dipanggil semula sebagai saksi.
Beliau menyatakan teman wanita kepada suspek itu dibenarkan diberi bon ikat jamin dan akan dijadikan saksi semasa pendakwaan nanti.
Media hari ini melaporkan bapa kepada kanak-kanak terbabit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan menyebabkan kematian terhadap dua anaknya pada 4 September lepas.
Media sebelum ini melaporkan tertuduh berusia 46 tahun dan wanita itu direman berhubung kematian dua kanak-kanak berumur enam dan lapan tahun.
Dalam kejadian itu, dua beradik lelaki dan perempuan lemas apabila terperangkap di dalam kereta yang menggelongsor ke dalam Sungai Tanjung Agas Linggi.
Bapa mereka terselamat kerana berada di luar kereta manakala seorang wanita yang turut berada di dalam kenderaan itu berjaya diselamatkan orang awam.
Selain itu, Alzafny berkata pihaknya menahan seorang warga tempatan dan 23 warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun menerusi Op Bersepadu Hazard e-sisa di kawasan perusahaan Senawang.
Mereka terdiri daripada sembilan lelaki Bangladesh, 11 warga Myanmar, dua warga India dan seorang warga Vietnam yang ditahan pada 10 September lepas.
Sebanyak 396 unit bahan buangan terjadual SW104 iaitu aluminum dross dirampas dan dua lori disita dengan anggaran sitaan bernilai 713,000 ringgit.
Premis tersebut beroperasi sejak tahun 2018 dengan membuat perniagaan kitar semula dan menjadikan kawasan kilang sebagai transit barangan e-sisa sejak tujuh bulan lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan barangan e-sisa sebelum ini dihantar ke Selangor.
Turut dirampas 530 peket rokok pelbagai jenama, 365 tin minuman keras serta 163 botol arak tempatan dan pelbagai jenama dengan nilai rampasan 12,268 ringgit.
Barangan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, Alzafny berkata sepasang suami isteri pemilik syarikat pengangkutan ditahan di Seremban bagi membantu siasatan kegiatan penipuan menggunakan kad Touch N Go.
Kad itu dipercayai digodam dengan tambah nilai tidak sah sejak setahun lepas membabitkan kerugian lebih 59,920 ringgit.
Kedua-dua mereka berusia 43 dan 33 tahun membeli kad berkenaan daripada seorang lelaki tempatan yang masih bebas.
Hasil siasatan mendapati mereka membeli kad Touch N Go yang digodam dengan tambah nilai tidak sah bagi kegunaan syarikatnya.
Mereka mengaut keuntungan dengan cara tidak membayar kos tol sepanjang perjalanan lori-lori yang digunakan syarikat tersebut.
Pemilik membeli kad dengan harga sekeping antara 150 hingga 200 ringgit dengan nilai tambah dalam kad itu dua kali ganda daripada harga dibeli.
Dalang tersebut masih lagi dikesan pihak polis untuk siasatan lanjut.
Antara barangan lain dirampas wang tunai 400,000 ringgit, 304 keping kad Touch N Go, tiga telefon bimbit dan satu set perakam kamera litar tertutup.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kedua-dua mereka direman empat hari sehingga esok. – Bernama