KUCHING: Kerajaan Sarawak mengulangi komitmennya untuk menjadikan negeri itu sebagai hab serantau bagi pembuatan dan semikonduktor termaju berteraskan tenaga boleh baharu, infrastruktur mantap dan pembangunan tenaga kerja.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beberapa langkah strategik sedang dilaksanakan bagi menarik pelaburan bernilai tinggi dan memperkukuh daya saing Sarawak di peringkat global.
Komitmen negeri terhadap infrastruktur, pembangunan tenaga kerja, tenaga bersih dan mampu milik serta transformasi digital merupakan sebahagian strategi menyeluruh dalam menjadikan Sarawak destinasi pilihan pembuatan termaju di rantau ini.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran pengembangan kemudahan X-FAB Sarawak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya.
Kebergantungan negeri kepada tenaga hidro memberi kelebihan kepada industri dengan menyediakan bekalan tenaga bersih, boleh dipercayai dan menjimatkan kos sejajar matlamat kemampanan global.
Dasar mesra perniagaan kerajaan negeri, kadar tarif air dan elektrik kompetitif serta infrastruktur mantap menjadi pemacu kejayaan ini.
Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya kekal sebagai tarikan utama pelabur dengan jumlah pelaburan terkumpul mencecah RM15.4 billion melibatkan pelabur asing dan tempatan setakat ini.
Negeri itu juga menyasarkan untuk menarik pelaburan awam dan swasta berjumlah RM2 billion menerusi Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030.
Bagi mencapai sasaran itu, Sarawak akan menjalinkan kerjasama strategik dengan lebih 10 peneraju industri global dan mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Negeri juga akan mengkomersialkan harta intelek baharu serta melatih 3,000 graduan tempatan menerusi program khusus.
Pengembangan kapasiti pengeluaran X-FAB Sarawak bernilai RM3 billion merupakan pencapaian penting kepada kedudukan Sarawak dalam ekosistem semikonduktor global.
Ia akan meningkatkan pengeluaran wafer bulanan X-FAB Sarawak daripada 30,000 kepada 40,000 wafer sebulan dengan rancangan masa depan untuk meningkatkannya kepada 50,000 wafer.
Perkembangan tersebut akan memperkukuh keupayaan tempatan dalam reka bentuk, integrasi dan inovasi semikonduktor maju.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan X-FAB Rudi De Winter berkata pengembangan fasiliti tersebut turut meningkatkan kemampuan tapak pengeluaran untuk teknologi popular 180nm BCD-on-SOI.
Beliau menghargai sokongan berterusan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan kerajaan Sarawak yang membolehkan pencapaian penting ini. – Bernama