SHAH ALAM: Seorang bekas guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan pecah amanah melibatkan dana sumbangan lebih RM16,000 antara 2020 dan 2021.
Nor Aidah Baba, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Nor Aidah yang semasa kejadian merupakan guru besar sebuah sekolah rendah di Pulau Carey, Kuala Langat telah pecah amanah wang sumbangan My Kasih Foundation bernilai keseluruhan RM16,525.45 dengan menjadikan harta itu bagi kegunaannya sendiri.
Kesalahan itu dilakukan secara berperingkat di sekolah tersebut pada 3 Disember 2020 dan di hadapan sebuah cawangan bank di Telok Panglima Garang pada 11 Januari 2021.
Pendakwaan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmaa’ Zamri manakala Nor Aidah diwakili peguam Nur Fadhilah Zainuddin.
Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Selangor dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Oktober depan. – Bernama