APMM Pahang tahan vesel nelayan, lima kru warga asing tanpa dokumen

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pahang menahan sebuah vesel nelayan tempatan kelas C bersama lima kru termasuk tekong warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen sah dalam operasi bersepadu di perairan Kuala Kuantan.

Vesel itu ditahan pada 9.50 pagi ketika bersauh kira-kira 2.9 batu nautika dari tenggara Kuala Kuantan menerusi Operasi Preventive SAR dan Ops Makmur.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima kru termasuk tekong, semuanya warga Myanmar berumur 32 hingga 45 tahun.

Seorang daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara yang tamat tempoh, manakala empat lagi tidak memiliki dokumen sah daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, dengan vesel, kru, peralatan menangkap ikan serta hasil laut kira-kira 720 kilogram dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway untuk siasatan lanjut.

APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan yang menyalahi undang-undang, khususnya pencerobohan serta pelanggaran syarat lesen perikanan di perairan negara.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah undang-undang sedia ada.

APMM menyeru komuniti nelayan dan orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan atau jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *