Kepala warga emas hilang ditemui dibaham buaya di Lawas

LAWAS: Kepala seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun yang dilaporkan hilang selepas mandi di jambatan sungai berhampiran kediamannya ditemui lewat malam tadi.

Penduduk kampung menjumpai kepala mangsa kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang di Kampung Siang-Siang Laut, Terusan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak mengesahkan penemuan kepala tersebut pada pukul 12.45 tengah malam.

Ahli keluarga mangsa telah membuat pengesahan sebelum kepala diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mangsa, Tuah Lamat, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.30 petang Selasa lalu selepas mandi di jambatan sungai berdekatan rumahnya.

Ahli keluarga hanya menemui tuala dan selipar dipercayai milik mangsa di lokasi kejadian.

Penduduk kampung telah melancarkan pencarian menggunakan perahu di sepanjang sungai sebelum menghubungi pihak bomba.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas digerakkan sejauh 22 kilometer ke lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat disambung semula pada pagi ini untuk mencari bahagian badan mangsa yang masih hilang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *