KESUMA lancar 10 inisiatif game changer hadapi perubahan pasaran buruh

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melaksanakan 10 inisiatif pengubah keadaan atau game changer di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi mendepani perubahan landskap pasaran buruh.

KESUMA memaklumkan inisiatif ini bagi memastikan tenaga kerja negara bersedia menghadapi perubahan landskap pasaran buruh disebabkan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

Perubahan demografi, ketidaktentuan geopolitik, peralihan ke arah ekonomi hijau serta ekonomi gig turut mempengaruhi landskap pasaran buruh negara.

Sesi libat urus ini menghimpunkan lebih 1,000 peserta mewakili pelbagai kluster termasuk kementerian, jabatan kerajaan, dan badan berkanun.

Peserta turut terdiri daripada wakil syarikat swasta, institusi akademik, sektor e-hailing, badan bukan kerajaan serta persatuan perbankan.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan KESUMA susulan program Sesi Libat Urus Belanjawan (SLU) Tahun 2026 anjuran kementerian itu.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyempurnakan program tersebut dengan kehadiran Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad serta pengurusan tertinggi kementerian.

Sesi libat urus ini merupakan sebahagian daripada pendekatan inklusif Kerajaan MADANI dalam merangka belanjawan yang berpaksikan rakyat.

Belanjawan 2026 merupakan belanjawan pertama di bawah RMK13 yang berteraskan tiga tonggak utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan tadbir urus baik. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *