ALOR SETAR: Polis sedang mengenal pasti identiti seorang lelaki yang maut dipercayai akibat dilanggar sebuah kereta ketika sedang melintas jalan di Kilometer 46 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar telah menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira 7.30 pagi semalam.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Hyundai yang dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun sedang bergerak lurus di lorong kiri dari arah utara menghala ke selatan telah melanggar seorang pejalan kaki yang dipercayai sedang melintas jalan dari sebelah kiri ke kanan.
Akibat pelanggaran itu mangsa tercampak di lorong kecemasan dan pihak perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut.
Pemandu kereta berkenaan telah membuat laporan polis hari ini dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
Polis meminta orang ramai terutamanya saksi kejadian untuk tampil memberi keterangan dan sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama