PUTRAJAYA: Proses pendaftaran kad SIM prabayar di Malaysia akan menggunakan MyDigital ID sepenuhnya menjelang akhir tahun ini sebagai usaha memperkukuh aspek keselamatan digital.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata langkah itu akan melibatkan semua syarikat telekomunikasi di negara ini.
Syarikat telekomunikasi akan diarahkan melaksanakan proses pendaftaran menggunakan pengesahan identiti digital menerusi MyDigital ID.
“Dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat semalam, ada dibincangkan aspek pendaftaran sim card dan syarikat telco akan diarah untuk memastikan proses pendaftaran bagi sim card, akaun prabayar akan mengguna pakai pendaftaran menggunakan My Digital ID.”
“Ini akan mula dikuatkuasakan insya-Allah pada hujung tahun ini.”
Fahmi menekankan bahawa pendekatan itu penting bagi menutup kelompangan yang wujud dalam sistem sedia ada dan mengelakkan sebarang potensi salah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sebuah akhbar tempatan memetik Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia Siraj Jalil yang menyatakan rancangan kerajaan untuk mengetatkan pengesahan umur di platform media sosial seperti TikTok berisiko gagal sekiranya Malaysia tidak terlebih dahulu menangani kelemahan dalam pendaftaran kad SIM.
Beliau berkata masalah sebenar bermula daripada akses yang terlalu mudah untuk mendapatkan kad SIM walaupun wujud kebimbangan mendalam mengenai ancaman dalam talian terhadap kanak-kanak.
Mengenai dakwaan kebocoran data peribadi rakyat Malaysia melalui sebuah laman web, Fahmi berkata semakan dengan MCMC mendapati laman web itu telah disekat sejak Jun 2022.
“Pihak MCMC telah berhubung dengan penyedia perkhidmatan untuk mendapat maklumat lanjut mengenai individu di sebalik laman web tersebut.”
Sebelum ini, tular satu hantaran di Facebook yang mendakwa data peribadi rakyat Malaysia boleh diperolehi secara mudah termasuk maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan maklumat sensitif seperti butiran perbankan turut didedahkan. – Bernama