Dua bekas tentera mengaku bersalah ceroboh sekolah, curi RM25 di Jeli

PASIR MAS: Dua bekas anggota tentera mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan menceroboh dan mencuri wang tunai berjumlah RM25 dari sebuah sekolah di Jeli pada hujung bulan lepas.

Mohd Izaman Sazli Che Noordin, 40 tahun, dan Mohd Zulkifli Mat Ghani, 41 tahun, didakwa bersama-sama menceroboh bilik koperasi sekolah tersebut dan mencuri wang tunai RM15 pada kira-kira jam 1 pagi 31 Ogos lepas.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan pencerobohan di bilik guru Program Pendidikan Khas Integrasi di blok berasingan sekolah yang sama dan mencuri wang tunai RM10 pada tarikh dan masa yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Majistret Syed Farid Syed Ali menetapkan 21 September ini untuk sebutan semula kes bagi tujuan menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.

Kedua-dua tertuduh dibenarkan ikat jamin RM4,000 setiap seorang bagi setiap pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Irfan Aizat Mohd Daud manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *