AKPS rampas ubatan tidak berdaftar RM17,000 di KLIA

SEPANG: Pasukan Penguat Kuasa Farmasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan KLIA merampas ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai kira-kira RM17,100 yang cuba dibawa masuk menerusi Hab Antarabangsa Pos Malaysia.

Pemeriksaan sekitar jam 11 pagi semalam menemukan sebuah bungkusan mencurigakan dari Kemboja yang dialamatkan kepada seorang individu di Klang, Selangor.

Pemeriksaan lanjut mendedahkan bungkusan tersebut menyembunyikan 3,420 biji ubat-ubatan tidak berdaftar yang dipercayai mengandungi bahan psikotropik tersenarai dalam Jadual Ketiga, Akta Racun 1952.

Antara rampasan termasuk tablet Alprazolam 0.5 miligram sebanyak 3,000 biji bernilai RM15,000 dan tablet Zolpidem 10 miligram sebanyak 420 biji bernilai RM2,100.

AKPS memaklumkan cubaan pengimportan ubat-ubatan tidak berdaftar merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 7(1) (a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Ia juga melanggar Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan Psikotropik) 1989 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) Akta Racun 1952.

Semua ubat-ubatan dirampas akan dilupuskan mengikut prosedur sedia ada.

AKPS menegaskan komitmen untuk terus memperketat kawalan di pintu masuk negara dan memberi amaran keras bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana cubaan penyeludupan ubat-ubatan haram. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *