Pengawal keselamatan dedah temui Zara Qairina dalam longkang tidak sedar

KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan memberitahu Mahkamah Koroner dia menemui Allahyarham Zara Qairina Mahathir terlentang di dalam longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan tengkuk berdarah sekitar 3 pagi pada 16 Julai lepas.

Linah Mansoding @ Jaliha yang berusia 65 tahun dan bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar sejak 1 Julai 2012 berkata pada hari kejadian sekitar 2 pagi dia membuat rondaan di asrama perempuan Blok Rabiatul Adawiyah dan mendapati tiada sebarang insiden luar biasa berlaku.

“Saya kemudian bergerak ke blok asrama bersebelahan iaitu Blok Sumayyah yang merupakan asrama perempuan untuk membuat rondaan seterusnya,” katanya yang bertugas dari 8 malam pada 15 Julai hingga 8 pagi 16 Julai lepas.

Linah berkata sekitar 3 pagi semasa berada di asrama Blok Sumayyah dia dimaklumkan oleh seorang pelajar ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah.

Wanita berkenaan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Koroner Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan pada hari kelima prosiding inkues berhubung kematian remaja itu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *