KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzaman menyeru pemimpin dunia mencontohi usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong gerakan kemanusiaan Gaza.
Muhammad Nadir juga menyeru pemimpin dari Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Bhutan, Nepal, Filipina, Thailand dan negara-negara lain bersama-sama menyatakan sokongan terhadap keselamatan rakyat Palestin dan semua peserta Global Sumud Flotilla.
Beliau meminta rakyat negara-negara tersebut menyampaikan seruan ini kepada pemimpin masing-masing untuk mencontohi Perdana Menteri Malaysia yang telah mengisytiharkan diri sebagai penaung Sumud Nusantara.
Global Sumud Flotilla yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pertengahan bulan ini selepas belayar merentasi Laut Mediterranean.
Antara yang menyertai misi itu artis tanah air Zizi Kirana dan Ardell Aryana, serta pendakwah Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat.
Kumpulan kedua melibatkan 15 aktivis Malaysia termasuk pempengaruh Farah Lee dan ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad.
Flotila kemanusiaan itu bertujuan menarik perhatian kerajaan dari seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan genosid di Gaza.
Misi ini juga bertujuan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada mangsa yang memerlukan di Gaza.
Global Sumud Flotilla menghimpunkan gabungan antarabangsa merangkumi Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat.
Semua delegasi yang menyertai flotila ini mendukung prinsip tanpa keganasan dan menganggapnya sebagai simbol kekukuhan perpaduan global bersama rakyat Gaza. – Bernama