Pondok Kepimpinan literasi kenegaraan dilancar untuk golongan muda

PUTRAJAYA: Program literasi kenegaraan khusus untuk anak muda dan mahasiswa bertajuk ‘Pondok Kenegaraan’ telah dilancarkan bagi memberikan pemahaman mendalam mengenai isu kenegaraan, modul kepimpinan dan literasi media.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan merasmikan program berbentuk bengkel yang bertujuan melahirkan generasi pemimpin muda berwibawa dan berfikiran kritis.

Zulkifli menyatakan program ini diwujudkan untuk menjawab cabaran semasa yang dihadapi anak muda termasuk penyebaran maklumat palsu, ekstremisme digital serta polarisasi sosial dan politik.

“Ia juga diharap dapat menangkis naratif keagamaan sempit melalui pelbagai platform, khususnya di media sosial.”

“Saya yakin inisiatif Pondok Kepimpinan ini mampu melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang wasati dalam pemikiran, bijaksana dalam tindakan dan berpandangan jauh,” katanya.

Sebanyak 37 bengkel akan dijalankan di seluruh negara dengan tumpuan utama penyertaan anak muda dan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang.

Program yang dikendalikan oleh Merdeka Center turut mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Rakan strategik program termasuk Akademi Kenegaraan Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan organisasi masyarakat sivil lain.

Pengarah Program Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata inisiatif ini membolehkan golongan muda memahami konsep kenegaraan serta mengasah keupayaan menilai isu semasa dengan pemikiran kritis. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *