KANGAR: Seorang anggota bomba di Perlis direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna jawatan yang melibatkan sewaan sebahagian tanah untuk diusahakan sebagai sawah padi milik jabatannya pada 2023 dan 2024.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kangar Ana Rozana Mohd Nor terhadap lelaki berusia 49 tahun tersebut selepas permohonan reman dibuat oleh SPRM Perlis.
Lelaki itu ditahan pada kira-kira pukul 4 petang semalam di Pejabat SPRM Perlis ketika hadir untuk memberikan keterangan mengenai kes tersebut.
Anggota bomba itu dipercayai menggunakan kuasa sebagai ketua sebuah balai bomba dan penyelamat di Perlis pada 2023 dan 2024 untuk meminta wang sewaan tanah sebanyak RM12,000 daripada seorang pesawah bagi empat musim penanaman padi.
Sebahagian tanah yang diusahakan sebagai sawah padi itu merupakan milik jabatannya, tetapi lelaki tersebut disyaki menyewa tanah berkenaan tanpa kebenaran pihak jabatan dengan menggunakan kedudukannya sebagai ketua balai bomba.
Dia dipercayai meminta bayaran RM3,000 bagi setiap musim daripada pesawah terbabit dan disyaki menerima wang sewaan tersebut secara tunai.
Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki salah guna jawatan untuk kepentingan peribadi.
Untuk rekod, pada 11 Februari lepas, media melaporkan lelaki yang sama direman enam hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kehadiran kerja anggota bantuan di balai berjumlah kira-kira RM30,000 antara November 2023 hingga Februari 2024. – Bernama