Lelaki maut, isteri cedera kemalangan kereta terbabas di Ipoh

IPOH: Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kereta mereka terbabas dan terbalik di hadapan sebuah kedai perabot di Jalan Sultan Idris Shah di sini, pagi tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 8.06 pagi sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dikejarkan ke lokasi kejadian.

Kemalangan melibatkan sebuah Toyota Corolla Altis dengan seorang lelaki berusia 55 tahun tersepit di bahagian pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.

Isteri mangsa berusia 48 tahun mengalami kecederaan ringan, menerima rawatan awal dan seterusnya dihantar ke hospital.

Beliau berkata kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan menggunakan peralatan hidraulik sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada 8.53 pagi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *