KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) mendedahkan ancaman terhadap fasiliti gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak diterima melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada nombor telefon berdaftar di Indonesia.
Beliau berkata kerajaan telah meningkatkan kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG di Sarawak dan Sabah sebagai langkah berjaga-jaga susulan ancaman tersebut.
“Saya dimaklumkan bahawa ada yang menerima SMS ugutan dan ugutan itu datangnya daripada telefon yang menggunakan nombor berdaftar di Indonesia.”
“Polis masih membuat siasatan, jadi sebagai langkah berjaga-jaga Majlis Keselamatan Negara telah mengeluarkan arahan untuk meningkatkan kawalan keselamatan,” katanya selepas majlis pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan.
Fadillah menjelaskan ancaman tersebut berkait dengan permintaan tertentu daripada pengirim yang mengugut untuk membakar kemudahan LNG negara selepas tidak menerima maklum balas.
“Dia minta menjawab sesuatu tapi sebab tak ada respons, dia mengugut untuk membakar LNG kita tapi tak tahu yang mana satu.”
Majlis Keselamatan Negara dalam kenyataan semalam mengarahkan semua fasiliti LNG di Bintulu memperketat kawalan keselamatan serta-merta susulan ancaman keselamatan terhadap fasiliti berkenaan.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG milik Petronas telah diperketatkan serta-merta selepas pegawai terbabit membuat laporan polis. – Bernama