KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Yusuf Awang yang menghidap masalah saraf kaki.
Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Yusuf di kediamannya di Kampung Alor Ladang, Beserah di Kuantan, Pahang.
Ahmad Farhan berkata sumbangan tunai serta bakul makanan diberikan kepada Yusuf sebagai penghargaan atas segala pengorbanan beliau.
“Pak cik Yusuf diuji dengan masalah saraf kaki yang membataskan langkahnya saban hari. Namun, di sebalik kelemahan itu terserlah kekuatan jiwa seorang perwira yang pernah berdiri gagah mempertahankan tanah air.
“Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesihatan, ketabahan, dan keberkatan dalam hidupnya. Pengorbanan insan seperti pak cik Yusuf inilah yang menjadi asas kepada nikmat keamanan yang kita kecapi pada hari ini,” katanya menerusi hantaran Facebook yang turut dikongsikan Perdana Menteri hari ini – BERNAMA