Pegawai perhubungan awam negeri perlu responsif dan kreatif – Amirudin

KEPALA BATAS: Pegawai perhubungan awam bagi anak syarikat kerajaan negeri, jabatan, agensi serta pihak berkuasa tempatan di Selangor perlu lebih responsif dan kreatif dalam memberikan maklum balas serta menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata dalam usaha mengkoordinasikan komunikasi di negeri itu, pegawai perhubungan awam perlu sedar dan mengikuti perubahan dalam dunia komunikasi khususnya membabitkan penggunaan media sosial.

Beliau menegaskan bahawa banyak berita tidak sahih dan berunsur negatif digerakkan awal menerusi hantaran di media sosial.

“Jadi, mereka kena sedar tentang situasi yang berubah itu…bukan memusuhi, sebaliknya bagaimana untuk beradaptasi.”

“Yang penting adalah macam mana mereka dapat merancang satu komunikasi yang berkesan dalam mengetengahkan dasar-dasar dan juga pandangan negeri,“ katanya.

Amirudin berkata demikian kepada pemberita pada Program Retreat dan Mesyuarat Pegawai Perhubungan Awam dan Media Selangor 2025 di sebuah pusat peranginan di sini.

Program tiga hari dua malam yang bermula semalam disertai lebih 60 peserta membabitkan pegawai perhubungan awam mewakili jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri termasuk agensi media.

Beliau menambah bahawa penglibatan julung kali media dalam program tersebut merupakan antara usaha kerajaan negeri merapatkan serta melancarkan hubungan dua hala.

“Walaupun media sosial telah menawan dunia komunikasi, tetapi media arus perdana masih lagi memainkan peranan sebagai sumber yang boleh dirujuk.”

“Maknanya, keseimbangan untuk melaporkan berita itu akan lebih baik apabila masing-masing mempunyai hubungan baik,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *