Konstabel polis cedera ditembak, ditikam ketika rondaan cegah jenayah di Ipoh

IPOH: Seorang anggota polis berusia 26 tahun cedera selepas ditembak dan ditikam ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Simpang Pulai awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata polis kini giat memburu suspek yang masih bebas dan dipercayai terbabit dengan penemuan mayat seorang wanita.

Beliau berkata sepasukan anggota Balai Polis Simpang Pulai mengesan sebuah kereta mencurigakan di Taman Desa Pakatan pada 1.15 pagi.

Suspek melarikan diri ketika pasukan rondaan cuba menahan kenderaan tersebut sehingga berlaku kejar-mengejar.

Kenderaan suspek berhenti di kawasan kebun kelapa sawit sebelum berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis.

Suspek merampas pistol milik anggota polis lalu menembak mangsa di bahagian perut serta menikamnya.

Suspek berjaya melarikan diri bersama pistol yang dirampas daripada anggota polis.

Anggota polis berpangkat konstabel itu kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Pemeriksaan lanjut ke atas kereta suspek menemukan mayat seorang wanita yang belum dikenal pasti di tempat duduk belakang.

Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik HRPB bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian wanita tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat kes ASP Fadli Ahmad di talian 012-2500019. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *